Wednesday, 18 April 2012

Doaku buat seseorang yg menjadi SUAMIku


Ya Allah..
Kau ampunilah dosaku yang telah ku lakukan,
Kau limpahkanlah aku dengan kesabaran yang tiada terbatas,
Kau berikanlah aku kekuatan mental,
Kau kurniakanlah aku dengan sifat keredhaan,
Kau peliharalah lidahku dari kata-kata nista,
Kau kuatkanlah semangatku menempuhi segala cabaran-Mu,
Kau berikanlah aku sifat kasih sesama insan..



Ya Allah..
Sekiranya suamiku ini adalah pilihan Mu di arash,
Berilah aku kekuatan dan keyakinan untuk terus bersamanya,
Sekiranya suamiku ini adalah suami yang akan membimbing tanganku di titian-Mu,
Kurniakanlah aku sifat kasih dan redha atas segala perbuatannya,
Sekiranya suamiku ini adalah bidadara untukku di jannah-Mu,
Limpahkanlah aku dengan sifat tunduk dan tawaduk akan segala perintahnya,
Sekiranya suamiku ini adalah yang terbaik untukku di dunia-Mu,
Peliharalah tingkah laku serta kata-kataku dari menyakiti perasaannya,
Sekiranya suamiku ini jodoh yang dirahmati oleh-Mu,
Berilah aku kesabaran untuk menghadapi segala kerenah dan ragamnya..



Tetapi Ya Allah..
Sekiranya suami ku ini ditakdirkan bukan untuk diriku seorang,
Kau tunjukkanlah aku jalan yang terbaik untuk aku harungi segala dugaan-Mu,
Sekiranya suamiku tergoda dengan keindahan dunia-Mu,
Limpahkanlah aku kesabaran untuk terus membimbingnya,
Sekiranya suamiku tunduk terhadap nafsu yang melalaikan,
Kurniakanlah aku kekuatan-Mu untuk aku memperbetulkan keadaannya,
Sekiranya suamiku menyintai kesesatan,
Kau pandulah aku untuk menarik dirinya keluar dari terus terlena..



Ya Allah..
Kau yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untukku,
Kau juga yang Maha Mengampuni segala kesilapan dan keterlanjuranku,
Sekiranya aku tersilap berbuat keputusan,
Bimbinglah aku ke jalan yang Engkau redhai,
Sekiranya aku lalai dalam tanggungjawabku sebagai isteri,
Kau hukumlah aku di dunia tetapi bukan di akhirat-Mu,
Sekiranya aku ingkar dan derhaka,
Berikanlah aku petunjuk kearah rahmat-Mu..



Ya Allah..
Sesungguhnya aku lemah tanpa petunjuk Mu,
Aku buta tanpa bimbingan Mu,
Aku cacat tanpa hidayah Mu,
Aku hina tanpa Rahmat Mu..



Ya Allah..
Kuatkan hati dan semangatku,
Tabahkan aku menghadapi segala cubaan-Mu,
Jadikanlah aku isteri yang disenangi suami,
Bukakanlah hatiku untuk menghayati agama-Mu,
Bimbinglah aku menjadi isteri solehah..



Hanya pada Mu, Ya Allah..
Ku pohon segala harapan,
Kerana aku pasrah dengan dugaan-Mu,
Kerana aku sedar hinanya aku,
Kerana aku insan lemah yang kerap keliru,
Kerana aku leka dengan keindahan dunia-Mu,
Kerana kurang kesabaran ku menghadapi cabaran-Mu,
Kerana pendek akal ku mengharungi ujian-Mu..



Ya Allah Tuhanku..
Aku hanya ingin menjadi isteri yang dirahmati,
Isteri yang dikasihi,
Isteri yang solehah,
Isteri yang sentiasa dihati suamiku..

Amin, Ya Rabbi Allamin..

Menangislah Jika Hati Kamu Lembut

Sahabat..

Apa salahnya menangis, jika memang dengan menangis itu membuatkan manusia menjadi sedar. Sedar akan kelemahan-kelemahan diri, disaat tiada lagi yang sanggup menolong dari kesusahan selain Allah Swt. Kesedaran yang membawa kepada manfaat dunia dan akhirat.

Bukankah hati manusia tidak pernah stabil?



Selalu berbolak – balik menurut keadaan yang dilalui.

Apabila seseorang menghadapi kebahagiaan, maka hatinya akan gembira. Dan saat dilanda musibah, banyak orang yang berputus asa lalu berpaling dari kebenaran.

Sebahagian orang menganggap menangis itu adalah sesuatu yang hina, ia merupakan tanda lemahnya seseorang. Bangsa Yahudi selalu marah apabila anaknya menangis kerana dikatakan tidak akan mampu melawan musuh-musuhnya. Orang Jepun akan memarahi anaknya jika mereka menangis kerana dianggap tidak tabah menghadapi hidup. Menangis adalah sesuatu yang hanya dilakukan oleh mereka yang tidak mempunyai prinsip hidup.

Bagi seorang muslim yang mukmin, menangis merupakan sebuah kelembutan hati dan petanda kepekaan jiwanya terhadap peristiwa yang menimpa dirinya mahupun umatnya.

Rasulullah SAW menitiskan air matanya ketika anaknya Ibrahim, meninggal. Abu Bakar selalu digelarkan oleh anaknya Aisyah sebagai Rajulun Bakiy (Orang yang selalu menangis).

Beliau sentiasa menangis, dadanya bergolak semasa solat dibelakang Rasulullah SAW kerana mendengar ayat-ayat Allah. Abdullah bin Umar pada suatu ketika melewati sebuah rumah yang didalamnya ada seseorang sedang membaca Al Qur’an. Ketika sampai pada ayat: “Hari (ketika) manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam” (QS. Al Muthaffifin: 6). Pada saat itu beliau diam, berdiri tegak dan merasakan dirinya seakan-akan sedang menghadap Tuhan, kemudian beliau menangis.

Lihatlah betapa Rasulullah SAW dan para sahabatnya benar-benar memahami dan merasakan getaran-getaran keimanan dalam jiwa mereka. Lembutnya hati mengantarkan mereka kepada darjat hamba Allah yang peka.



Bukankah diantara tujuh golongan manusia yang akan mendapatkan naungan pada hari dimana tiada naungan kecuali naungan Allah, adalah orang yang berdoa kepada Rabbnya dalam kesendirian sambil menitiskan air mata? Tentunya begitu sukar menitiskan air mata sewaktu berdoa jika hati seseorang itu tidak lembut.

Yang biasa dilakukan manusia dalam kesendirian adalah maksiat. Bahkan banyak manusia yang bermaksiat apabila bersedirian didalam bilik. Seorang mukmin sejati akan menangis dalam kesendirian dikala berdoa kepada Tuhannya. Sedar betapa beratnya tugas hidup yang harus dipikulnya di dunia ini.

Di zaman ketika manusia lalai dalam gemerlap dunia, seorang mukmin akan sentiasa menjaga diri dan hatinya. Menjaga kelembutan dan kepekaan jiwanya. Dia akan mudah menitiskan air mata demi melihat kehancuran umatnya. Kesedihannya begitu mendalam.

Kita tidak akan melihat seorang mukmin bersenang-senang dan bersuka ria ketika jirannya mengalami kesedihan, ditimpa berbagai ujian, cubaan, dan fitnah. Mukmin yang sebenar akan dengan bersedia membantu meringankan segala beban saudaranya. Ketika seorang mukmin tidak mampu menolong dengan tenaga ataupun harta, dia akan berdoa memohon kepada Tuhan semesta alam.

Menangis merupakan sebuah bentuk pengakuan terhadap kebenaran. “Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada rasul (Muhammad), kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al Qur’an) yang telah mereka ketahui (dari kitab-kitab mereka sendiri) seraya berkata: “Ya Rabb kami, kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran Al Qur’an dan kenabian Muhammad)”. (QS. Al Maidah: 83).

Ja’far bin Abdul Muthalib membacakan surat Maryam ayat ke-16 hingga 22 kepada seorang raja Nasrani yang bijak. Mendengar ayat-ayat Allah dibacakan, bercucuranlah air mata raja Habsyah itu. Dia mengakui benarnya kisah Maryam dalam ayat tersebut, dia telah mengenal kebenaran itu dan hatinya yang lembut menyebabkan matanya sembab kemudian menangis. Raja yang rindu akan kebenaran benar-benar merasakannya.

Orang yang keras hatinya, akan sulit menangis apabila dibacakan ayat-ayat Allah. Bahkan ketika datang teguran dari Allah sekalipun, dia akan tertawa atau malah berpaling dari kebenaran. Sehebat manapun bentuk penghormatan seorang tokoh munafik Abdullah bin Ubay bin Salul kepada Rasulullah Saw, sedikit pun tidak berpengaruh pada hatinya. Dia tidak peduli ketika Allah Swt mengecam keadaan mereka di akhirat nanti, “Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan neraka yang paling bawah. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapatkan seorang penolongpun bagi mereka”. (QS. An Nisa’: 145)

Barangkali di antara kita yang belum pernah menangis, maka menangislah disaat membaca Al Qur’an, menangislah ketika berdoa di sepertiga malam terakhir, menangislah kerana melihat keadaan umat yang hancur, atau tangisilah dirimu kerana tidak dapat menangis ketika mendengar ayat-ayat Allah.


Semoga dapat melembutkan hati kita. Ingatlah hari ketika manusia banyak menangis dan sedikit tertawa kerana dosa-dosa yang dibuatnya selama di dunia. “Maka mereka sedikit tertawa dan banyak menangis, sebagai pembalasan dari apa yang selalu mereka kerjakan”. (QS At Taubah: 82). 
Jadi apa salahnya menangis, sahabat hati?
Sumber: akuislam.com

Note: Menangis adalah kepuasan dan luahan bagi kesedihan atau kebahagiaan dalam hidupku....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
♥ Copyright © 2013 reserved to Myself. Template Edited by Cik Rose Cute