RAMAI orang bertanya, “adakah vitamin atau makanan tambahan (supplement) berkesan?” atau “bila ianya diperlukan?”. Lebih parah lagi, ada yang bertanya “adakah ia berbaloi untuk dibeli?”.
Semua persoalan itu mungkin dapat dijawab jika adanya kesedaran mengenai pentingnya penjagaan kesihatan tubuh badan dari awal.
Apatah lagi, tabiat pemakanan kita yang terdedah dengan lemak, manisan dan bahan toksik beracun, menyebabkan pengambilan makanan tambahan sangat penting.
Jika di Amerika Syarikat satu daripada tiga rakyatnya atau 100 juta masyarakat negara berkenaan mengambil makanan tambahan setiap hari dan membelanjakan sekitar AS$6.5 bilion (RM24.7 bilion) setahun untuk tujuan berkenaan, bagaimana pula di negara kita?
Pakar Perunding Kesihatan, Zulkifli Ahamad berkata, jumlahnya amatlah sedikit dan kesedaran masyarakat kita masih lagi rapuh iaitu 50-50.
Tidak dinafikan, memang ada golongan muda, sama ada bekerjaya ataupun masih bersekolah, yang mengamalkan pengambilan makanan tambahan sebagai rutin kehidupan seharian.
Sama ada diambil dari rumah sebaik selepas bersarapan pagi atau sebelum masuk tidur. Ada juga mengambilnya untuk membentuk otot dan lebih ramai sebagai tujuan kecergasan tubuh badan,untuk membantu meningkatkan sistem imunisasi dan mencergaskan diri
Hakikatnya, kesesuaian sesuatu produk bergantung kepada keperluan badan. Namun, kata Zulkifli, pengambilan makanan tambahan daripada sumber semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan, lebah, hasil tenusu dan herba adalah digalakkan bagi mengelakkan terjadinya kesan sampingan.
Bagaimanapun, katanya, tidak ada guna pengambilan makanan tambahan atau vitamin yang teratur, jika tidak minum air secukupnya (lapan gelas sehari) atau terlebih kandungan kafein dan gula di dalam badan.
Faktor berkenaan akan menyebabkan makanan tambahan yang diambil kurang memberi kesan positif.
Apapun, satu peringatan penting! Apa juga makanan tambahan yang anda ambil, pastikan terpapar lambang Kementerian Kesihatan Malaysia, bagi memastikan bahan itu teruji dan selamat berada di dalam tubuh badan.
Amalkan dari zaman kanak-kanak
SARANAN kerajaan mencegah lebih baik daripada mengubati seharusnya dipandang serius oleh segenap masyarakat di negara ini betapa penjagaan kesihatan dari awal amat penting berbanding merawat.
Zulkifli berkata, tidak seperti masyarakat Jepun yang majoriti masyarakatnya mampu hidup sehingga 100 tahun kerana pengambilan makanan sihat dan juga makanan tambahan di usia muda, masyarakat di negara ini kurang mempunyai kesedaran dalam aspek pemakanan yang hakikatnya terdedah dengan bahan beracun atau toksik tanpa disedari.
“Ramai orang kita ingat, kehidupan mereka sudah cukup bagus, lebih-lebih lagi bila tiada tanda-tanda sakit di usia muda.
“Mereka juga lebih suka mengambil ubatan berasaskan dadah seperti yang mengandungi parasitomol yang sekadar menghilangkan kesakitan buat seketika.
“Ramai juga tidak tahu bahawa dalam satu hidangan nasi yang mengandungi ayam dan sayuran, sebenarnya terdedah dengan bahan toksik.
“Sebab itulah, pengambilan makanan tambahan berasaskan sumber semula jadi yang diperkaya dengan vitamin di dalamnya akan membantu menyeimbangkan kesihatan badan,” katanya kepada i-Kon.
Dia berkata, ada kanak-kanak berusia empat hingga tujuh tahun yang mengalami penyakit kencing manis atau masalah obesiti dan kerana itu, pengambilan makanan tambahan digalakkan selewat-lewatnya pada usia 18 tahun dan seawal usia setahun.
“Ini perlu kerana sekarang ini pada usia 24 tahun pun ada yang menghidapi serangan jantung. Jadi adalah lebih baik diamalkan pengambilan makanan tambahan dari kecil lagi,” katanya.
INGAT!!! Maklumkan kepada pakar kesihatan:
1. Jika mempunyai alahan atau reaksi luar biasa terhadap sebarang ubat-ubatan, makanan dan apa juga makanan tambahan atau bahan pewarna.
2. Jika mengalami masalah pemakanan tertentu seperti kurang kandungan garam dan gula. Kebanyakan bahan ubatan mengandungi bahan aktif dan cecair perubatan.
3. Jika mengalami lebih daripada satu masalah kesihatan akibat pengambilan makanan tambahan.
4. Jika mengalami kesusahan mengingati sesuatu dan membaca label.
FAKTA: Siapa yang patut mengambil vitamin/makanan tambahan.
.• Dewasa
Golongan dewasa jarang mengambil makanan seimbang dalam pemakanan mereka. Malah pada lingkungan usia ini juga mereka akan kehilangan vitamin dan mineral penting dalam badan.
Bagi individu yang kurang terdedah dengan cahaya matahari, mereka selalunya kekurangan Vitamin D .Vitamin B penting kerana mereka ini sentiasa stress dan memerlukan Vitamin E yang terlalu tinggi untuk mengatasi masaalah saraf,
Kandungan dos Vitamin A berlebihan mungkin tidak merbahaya bagi golongan awal dewasa, tetapi menjadi bahan toksik kepada golongan akhir dewasa..
Golongan dewasa jarang mengambil makanan seimbang dalam pemakanan mereka. Malah pada lingkungan usia ini juga mereka akan kehilangan vitamin dan mineral penting dalam badan.
Bagi individu yang kurang terdedah dengan cahaya matahari, mereka selalunya kekurangan Vitamin D .Vitamin B penting kerana mereka ini sentiasa stress dan memerlukan Vitamin E yang terlalu tinggi untuk mengatasi masaalah saraf,
Kandungan dos Vitamin A berlebihan mungkin tidak merbahaya bagi golongan awal dewasa, tetapi menjadi bahan toksik kepada golongan akhir dewasa..
• Perokok
Merokok boleh menyebabkan kehilangan beberapa vitamin penting, terutama Vitamin C. Berpandukan kajian, 25 peratus perokok wanita dan 31 peratus perokok lelaki kekurangan Vitamin C.
Pengambilan asid folik sebagai makanan tambahan sangat digalakkan, bagaimanapun pengambilan dos vitamin antioksida yang terlalu banyak akan membawa bahaya.
Daripada mengambil makanan tambahan, kebanyakan perokok digalakkan mengambil buah-buahan segar, sayuran dan bijiran dalam diet masing-masing..
• Peminum alkohol
Golongan ini selalunya menghadapi masalah kekurangan kepelbagaian vitamin dalam badan. Paling bahaya apabila kekurangan Vitamin B1 (thiamin), asid folik, Vitamin B6, B2 dan Vitamin C..
• Pengamal diet dan vegetarian
Individu dalam program pengurangan berat badan 1,000 kalori sehari, digalakkan mengambil multivitamin dan membuat pemeriksaan paakar kesihatan secara kerap.
Manakala bagi vegetarian, pengambilan makanan tambahan yang mengandungi roboflavin, Vitamin B12 dan Vitamin D, sangat diperlukan.
Mereka yang tidak mengambil bahan tenusu atau telur dan juga daging, mempunyai kebarangkalian mengalami kekurangan Vitamin A. Namun bagi yang mengambil daging, telur dan hasil tenusu, tahap kandungan zat besi perlu diambil berat..
• Wanita mengandung dan menyusu
Vitamin B sangat perlu bagi menambah kandungan vitamin sedia ada..
• Bayi dan kanak-kanak
Bayi yang mengambil susu ibu sihat selalunya memiliki vitamin secukupnya, kecuali beberapa kejadian kurangnya Vitamin K dan D. Ini kerana susu badan kurang mengandungi Vitamin K. Oleh kerana itu, bayi yang baru lahir sering disuntik dengan vitamin.
AMARAN!!!
Pengambilan Vitamin D secara berlebihan meningkatkan kadar toksik berbahaya dalam badan. Oleh kerana itu, tiada siapa digalakkan mengambil vitamin D dalam kehidupan seharian, melainkan atas nasihat doktor atau pakar kesihatan.
__________________________________________________
Sumber; Berita Harian